BERA: Kegiatan mencuri buah kelapa sawit di daerah ini terbongkar apabila polis menahan tiga lelaki tempatan termasuk seorang warga Indonesia dalam dua serbuan berasingan pada 24 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, operasi dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera selepas menerima laporan daripada pengusaha ladang yang mengesyaki berlaku kegiatan mencurigakan.
Menurutnya, dalam serbuan pertama di Ladang Felda Rentam, Bandar Bera, pihak polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai sedang menjalankan aktiviti mencuri sawit.
“Hasil siasatan terhadap kedua-dua suspek membawa kepada tangkapan seorang lagi lelaki tempatan bersama seorang lelaki warga Indonesia di Ladang FDM Felda Mayam, Bandar Bera,” katanya di sini hari ini.
Zulkiflee berkata, siasatan mendapati sindiket ini dipercayai sudah menjalankan kegiatan mencuri buah sawit sejak beberapa minggu lalu sebelum menjualnya kepada pihak ketiga pada harga lebih rendah daripada pasaran.
Dalam operasi itu, pihak polis turut merampas sebuah lori yang dipercayai digunakan suspek bagi mengangkut hasil curi dari ladang ke lokasi tertentu untuk dijual.
Kesemua suspek kini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah Majistret Temerloh membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan. – UTUSAN