Sheqal amal selawat 10,000 kali, ‘ubat’ penyakit dihadapi - Utusan Malaysia

Sheqal amal selawat 10,000 kali, ‘ubat’ penyakit dihadapi

FADZLI Mohamad Kamal (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Sheqal di Taman Tuanku Jaafar, Seremban, semalam. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Amalan selawat 10,000 kali setiap hari menjadi ‘ubat’ kepada penyakit dihadapi penyanyi popular era 90-an, Datuk Shahrim Sallehudin, 60, atau lebih dikenali sebagai Sheqal yang diserang angin ahmar empat kali dan kini lumpuh sebelah kanan badan.

Sheqal yang dikenali dengan lagu Cinta Nusantara berkata, walaupun masih tidak boleh berjalan dan bergantung kepada kerusi roda tetapi dia lebih tenang dengan berselawat walaupun sering berasa mengah.

“Ubat saya hanya selawat 10,000 setiap hari, cuma ada rasa mengah, mula-mula dulu saya tidak boleh berjalan langsung tetapi Alhamdulillah saya tidak kena macam orang lain yang muka dan pipi herot.

“Saya masih buat rawatan susulan di Klinik Kesihatan Ampangan dan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban setiap dua bulan dan sekarang buah pinggang saya makin teruk (tahap empat) dan doktor kata ada kemungkinan perlu dialisis,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Tuanku Jaafar di sini semalam.

Terdahulu, Sheqal menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dong yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

Fadzli yang mewakili Kerajaan Negeri Pahang telah menyampaikan sumbangan wang tunai RM5,000 sebagai tanda keprihatinan kepada anak perantau seperti Sheqal yang berasal dari Raub, Pahang dan mempunyai penyakit kronik.

“Hari ini saya berpeluang berjumpa salah seorang anak perantau iaitu Sheqal sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesusahan yang menimpa anak-anak rantau Pahang.

“Jadi kepada yang memerlukan sokongan dan bantuan daripada kerajaan negeri Pahang boleh berurusan terus dengan Sekretariat Perantau Anak Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, tambah Sheqal, beliau terharu dengan sumbangan kerajaan Negeri Pahang yang disifatkan memberikan semangat buat dirinya.

Sheqal mula menghidap angin ahmar ketika pandemik Covid-19 pada 2020 dan diserang angin ahmar keempat pada 2022.

Hasil perkahwinan dengan isteri, Normah Mohd. Yusoff, 58, penyanyi itu dikurniakan dua orang anak berusia 21 dan 20 tahun.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya