KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengenakan sewa tapak bazar Ramadan pada kadar yang cukup murah bagi memastikan para peniaga menawarkan makanan pada harga berpatutan.
Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, sewa tapak lot bazar RM10 sehari itu sangat murah dan ia hanya sebagai bayaran pengurusan sampah dan kebersihan.
Katanya, langkah MPK mengawal harga sewa lot tapak bazar di bawah seliaan majlis itu adalah bagi membolehkan peniaga turut menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan sepanjang Ramadan ini.
“Konsep MPK adalah kita tak niaga gerai, kita hanya sewa lot sahaja supaya peniaga juga tidak terbeban lalu menawarkan harga makanan berpatutan.
“Malah menerusi pemantauan juga, saya dapati peniaga di bazar-bazar seliaan MPK turut memberi kerjasama dan harga ditawarkan mereka amat bersesuaian,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di bazar Ramadan Kangar di sini semalam.
Affendi berkata, secara keseluruhannya, lebih 500 tapak lot bazar di bawah seliaan MPK sekitar negeri ini.
Katanya, bazar Ramadan Arau merekodkan lebih 200 lot tapak dan merupakan lokasi penganjuran bazar terbesar di bawah seliaan MPK.
“Antara lokasi lain tapak bazar di bawah MPK adalah seperti di bazar Ramadan Kangar, Taman Kemajuan, Kuala Perlis dan beberapa lagi,” katanya.
Affendi berkata, MPK juga telah memberi peringatan dan amaran kepada peniaga agar dapat mematuhi aspek kebersihan dengan sebaiknya.
Katanya, pemantauan akan dilakukan secara berterusan sepanjang Ramadan ini.
Ujar beliau, bagi penganjuran bazar Ramadan tahun ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah mengeluarkan satu garis panduan di mana setiap tapak perlu mempunyai akses laluan masuk kenderaan menyelamat seperti ambulans.
“Jadi kita memang pastikan agar laluan itu dapat diwujudkan bagi memenuhi garis panduan ditetapkan oleh KPKT tersebut,” katanya.-UTUSAN