Sewa tapak Bazar Ramadan MPK hanya RM10 sehari

Sewa tapak Bazar Ramadan MPK hanya RM10 sehari

mpk
AFFENDI Rajini Kanth (kiri) menyerahkan apron kepada salah seorang peniaga semasa melakukan tinjauan di bazar Ramadan Kangar, Perlis.–MINGGUAN/ASYRAF MUHAMMAD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengenakan sewa tapak bazar Ramadan pada kadar yang cukup murah bagi memastikan para peniaga menawarkan makanan pada harga berpatutan.

Yang Dipertuanya, Affendi Rajini Kanth berkata, sewa tapak lot bazar RM10 sehari itu sangat murah dan ia hanya sebagai bayaran pengurusan sampah dan kebersihan.

Katanya, langkah MPK mengawal harga sewa lot tapak bazar di bawah seliaan majlis itu adalah bagi membolehkan peniaga turut menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan sepanjang Ramadan ini.

“Konsep MPK adalah kita tak niaga gerai, kita hanya sewa lot sahaja supaya peniaga juga tidak terbeban lalu menawarkan harga makanan berpatutan.

“Malah menerusi pemantauan juga, saya dapati peniaga di bazar-bazar seliaan MPK turut memberi kerjasama dan harga ditawarkan mereka amat bersesuaian,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di bazar Ramadan Kangar di sini.

Affendi berkata, secara keseluruhannya, lebih 500 tapak lot bazar di bawah seliaan MPK sekitar negeri ini dengan bazar Ramadan Arau merekodkan lebih 200 lot tapak dan merupakan lokasi penganjuran bazar terbesar di bawah seliaan MPK.

Affendi berkata, MPK juga telah memberi peringatan dan amaran kepada peniaga agar mematuhi aspek kebersihan dengan sebaiknya.

Katanya, pemantauan akan dilakukan secara berterusan sepanjang Ramadan ini.

Ujar beliau, bagi penganjuran bazar Ramadan tahun ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah mengeluarkan satu garis panduan di mana setiap tapak perlu mempunyai akses laluan masuk kenderaan menyelamat seperti ambulans.

“Jadi kita memang pastikan agar laluan itu dapat diwujudkan bagi memenuhi garis panduan ditetapkan oleh KPKT tersebut,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya