KUALA LANGAT: Kementerian Pertahanan mengecam tindakan keganasan termasuk serangan udara oleh rejim Israel sehingga mengorbankan lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di utara Gaza, baru-baru ini.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, serangan tersebut langsung tidak selari dengan semangat gencatan senjata yang bermula sejak 19 Januari lalu.
Katanya, justeru tindakan tersebut tidak boleh diterima, kita pertahankan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO) yang memberikan khidmat kemasyarakatan di sana seperti bantuan perubatan dan kemanusiaan.
“Memang kita mengecam tindakan dilakukan Israel terutama kepada Gaza sehingga melibatkan nyawa NGO kita dan rakyat kita. Apabila berakhir gencatan, rejim Israel mulakan dengan pembunuhan.
“Kita tahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan dan kita mengutuk dengan keras kekejaman yang dilakukan Israel terhadap Palestin dan kita takkan boleh terima,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Tambah Adly, beliau mengakui situasi terkini itu mewujudkan beberapa cabaran baharu dalam proses penghantaran pulang 127 rakyat Palestin termasuk 41 individu cedera yang dirawat di negara ini sebelum ini.
“Kementerian akan berkomunikasi dengan Kerajaan Mesir bagi memenuhi hasrat rakyat Palestin untuk pulang ke negara asal mereka. Memang kalau ikut pelan perancangan kita selepas gencatan senjata hari itu, mereka mahu pulang ke Gaza.
“Jadi, kita kena bekerjasama dengan kerajaan di Mesir sebab pintu masuknya dari negara itu. Kita sedang tunggu maklum balas daripada Kerajaan Mesir bagi membolehkan mereka pulang ke Gaza,” ujarnya. – UTUSAN