KLANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengarahkan sembilan daripada 30 bas diperiksa membaiki kenderaan mereka termasuk menukar tayar selepas didapati tidak menepati piawaian keselamatan ditetapkan.
Kesemua 30 bas itu diperiksa dalam satu operasi (OP) pra Hari Raya Aidilfitri (HRA) sejak 17 Mac lalu di depoh bas ekspres milik dua syarikat pengangkutan awam darat utama bagi memastikan jaminan keselamatan penumpang.
Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, operasi tersebut turut memfokuskan kepada pemeriksaan pemandu bagi memastikan mereka dan penumpang dapat menempuhi perjalanan yang selamat terutama ketika permintaan tinggi pada sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Sejak 17 Mac hingga semalam (Khamis), kami telah memeriksa lebih 30 bas di dua depoh. Terdapat sembilan buah bas yang kami dapati tayar bas tersebut tidak mengikut standard dan piawaian yang ditetapkan, iaitu ketebalan bunga tayar sekurang-kurangnya 2.5 milimiter (mm).
“Kesemua bas itu perlu menukar tayar terlebih dahulu sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya sidang akhbar pada pra Ops HRA 2025 Selangor, hari ini.
Selain itu, beliau memaklumkan seramai 340 pegawai dan anggota JPJ Selangor dijadualkan bertugas sepanjang perayaan Aidilfitri bagi memastikan kesemua pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya.
Menurut Azrin, pegawai dan anggota berkenaan akan membuat pemeriksaan ke atas jalan-jalan di seluruh negeri selain membuat sekatan jalan raya (SJR) serta pemantauan di terminal bas.
“Kita akan lakukan penyamaran dalam bas ekspres pada operasi berkenaan. Ia selaras dengan arahan dikeluarkan oleh ibu pejabat JPJ yang mana kesemua cuti anggota dibekukan bagi memberi fokus kepada Op HRA 2025.
“Kesemua 340 anggota daripada bahagian penguatkuasaan dalam JPJ Selangor akan ditugaskan ke lapangan pada Operasi HRA 2025, yang berlangsung dari 24 Mac hingga 8 April ini,”
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan cuti kesemua 2,500 pegawai dan anggota penguat kuasa di seluruh negara dibekukan pada Aidilfitri kali ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi), Datuk Jazmanie Shafawi berkata, Ops HRA 2025 kali ini memfokuskan kepada tujuh kesalahan berjadual seperti tidak mematuhi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar dan barisan, memandu di lorong kecemasan serta menggunakan telefon bimbit. – UTUSAN