Selangor beri 'duit raya' sebulan setengah gaji

Penjawat awam Selangor terima ‘duit raya’ sebulan setengah gaji

Duit raya Selangor
AMIRUDIN Shari berucap pada Majlis Mahabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memberikan Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor Madani sebanyak sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada lebih 18,000 penjawat awam di negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

‘Duit raya’ itu akan dibayar pada 25 Mac yang turut melibatkan bantuan sebanyak RM500 kepada kelompok kedua penjawat awam negeri seperti ketua kampung, ketua komuniti Madani dan ahli majlis.

Malah, kerajaan negeri turut bersetuju untuk memberikan Insentif Rekod Hasil Negeri sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibayar pada 15 April depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain penjawat awam negeri, kerajaan negeri turut bersetuju untuk memberikan sumbangan khas kepada 50,000 kakitangan awam persekutuan di Selangor sebanyak RM250 yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Menurutnya, implikasi kewangan bagi keseluruhan insentif tersebut berjumlah RM38.75 juta termasuk RM12.5 juta kepada penjawat awam persekutuan sementara sebanyak RM3 juta disumbang oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) bagi penggerak masjid seperti imam, bilal siak dan sebagainya yang akan menerima RM500 seorang.

“Seperti yang saya umumkan dalam Belanjawan Selangor 2025, semua anggota yang berkelayakan dan berkhidmat di pentadbiran kerajaan negeri akan diberikan sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000 sebagai Insentif Khas Aidilfitri Kita Selangor Madani.

“Kedua, tahun lalu, kerajaan negeri berjaya mencatatkan rekod kutipan hasil sebanyak RM2.867 billion pada tahun 2024 dan kita yakin dengan usaha yang lebih utuh, kita dapat memecahkan dan mencipta satu lagi rekod pada tahun.

“Sebagai penghargaan kepada usaha anda semua, saya dengan sukacitanya mengumumkan pada kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan Insetif Rekod Hasil Negeri sebanyak setengah bulan gaji minimum RM1,000,” katanya ketika berucap pada Majlis Mahabbah Ramadan Madani bersama penjawat awam Selangor, hari ini.

Beliau menambah, insentif tersebut dipanjangkan kepada pemimpin masyarakat, pegawai perhubungan kampung, ketua komuniti India, Penyelia Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Penggerak Belia Selangor (PeBS) sebanyak setengah bulan elaun ataupun minimum RM500.

“Insentif yang akan dibayar pada Selasa hadapan merupakan sebahagian daripada Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada penjawat awam sebanyak tiga bulan seperti diumum dalam Belanjawan Selangor 2025, pada November tahun lalu,” ujarnya.

Kata Amirudin, sehingga 28 Februari lalu, sebanyak RM605.51 juta dikutip oleh kerajaan negeri iaitu satu perempat daripada sasaran tahunan dan ia dilaporkan meningkat sebanyak RM32 juta berbanding tahun lalu bagi tempoh sama.

“Sehingga 28 Februari tahun ini, kedudukan kewangan negeri meningkat kepada RM4.542 billion, iaitu penambahan sebanyak RM643.51 juta.

“Tambahan kepada itu, dengan beberapa penstrukturan baharu, kerajaan negeri menjangkakan penerimaan hasil baharu dengan penambahan sebanyak RM74 juta melalui kadar caj abstraksi air mentah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya