KUDAT: Sekolah merupakan pusat bagi melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dari semua aspek dengan penerapan nilai-nilai kepimpinan karamah insaniah dalam membangunkan potensi diri.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, selain itu, golongan pelajar juga perlu memiliki elemen kepercayaan dan pegangan agama yang kukuh dalam diri masing-masing selari dengan cabaran pendidikan yang kompleks masa kini.
Titah baginda, pegangan agama yang teguh memainkan peranan amat penting dalam membentuk pemikiran dan pandangan hidup pelajar-pelajar bagi mendorong mereka mengikut ajaran al-Quran serta sunnah.
“Dengan ini, anda akan terus kekal berada pada landasan yang betul dalam mengejar kejayaan, bukan sahaja di dunia, tetapi juga di akhirat. Ingatlah bahawa ilmu tanpa akhlak tidak akan mendatangkan keberkatan,” titah baginda sewaktu Program Titian Kasih 2025 Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sikuati II, bersempena dengan Lawatan kerajaan negeri ke Sabah (Eks PerBah) 2025.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengetua SMK Sikuati II, YM Tengku Shuhaiza Tengku Abu Bakar.
Pada program itu, baginda turut berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan lampu solar oleh Universiti Malaysia Perlis (Unimap) kepada surau sekolah tersebut.
Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, golongan pelajar juga perlu sentiasa berusaha bersungguh-sungguh mencapai kecemerlangan akademik di samping menunjukkan disiplin dan sikap berhemah tinggi setiap masa.
“Malah pelajar juga perlu mengamalkan sikap baik di dalam mahu pun luar sekolah sekali gus menjadi pemangkin kepada kemajuan negara,” titah baginda.-UTUSAN