KUALA LUMPUR: Mengejutkan ramai menerusi tindakannya memfailkan perceraian terhadap suami iaitu pelakon, Edika Yusof, Nor Hidayah Yusri, mengakui mempunyai sebab kukuh untuk berbuat demikian.
Menurut Hidayah, walaupun sedar sebelum ini ramai melihat rumah tangganya dengan Edika bahagia, namun hasrat untuk memfailkan perceraian itu terpaksa dilakukan.
“Semua tahu situasi dan keadaan saya, jadi kalau sudah sampai ke tahap pergi ke mahkamah sudah tentu saya ada sebab yang sangat-sangat kukuh kenapa berbuat demikian.
“Jadi, itu sajalah yang boleh saya katakan. Saya tak mahu memberikan sebarang komen.
“Kalian boleh tanya dari pihak belah sana sebab saya tak mahu apa-apa keluar daripada mulut saya dan biar saya dengar dulu apa yang keluar dari mulut dia,”katanya.
Hidayah berkata demikian ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.
Terdahulu, Hidayah ditemani anggota keluarga dan peguam, Mohd. Yazid Hazim hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi sesi sebutan pertama kes dan penyerahan dokumen.
Menurut Yazid, bagaimanapun Edika tidak dapat hadir namun telah menyerahkan surat sebab berhubung ketidakhadirannya.
Sementara itu, ditanya mengenai punca anak guamnya memfailkan cerai, Yazid tidak berkongsi secara terperinci namun memaklumkan ketiadaan persefahaman menjadi faktor utama plaintif mahu berpisah.
“Sebab-sebab (pemfailan) saya tak boleh sebut secara terperinci kerana ianya bersifat subjudis kepada pihak defendan.
“Mungkin, alasan-alasan tersebut akan dibentang berdasarkan kepada arahan Hakim pada 23 April depan. Tetapi, secara umumnya ialah tiadanya persefahaman antara plaintif dan defendan,” katanya.-UTUSAN.