RUU wajib pendidikan hingga sekolah menengah, ibu bapa tidak perlu bimbang

RUU wajib pendidikan hingga sekolah menengah, ibu bapa tidak perlu bimbang

FADHLINA Sidek pada Sesi Libat Urus Media RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Kuala Lumpur hari ini.-UTUSAN/SYAKIR RADIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu bapa dan penjaga tidak perlu bimbang diambil tindakan berhubung pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025, yang mewajibkan pendidikan sehingga peringkat sekolah menengah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menjelaskan, pihak kementerian sentiasa memberi keutamaan kepada advokasi, kesedaran, dan tanggungjawab dalam memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses pendidikan yang sewajarnya.

Menurutnya, pendekatan sebegitu diambil berdasarkan pengalaman kementerian dalam melaksanakan Dasar Pengoperasian Pendidikan Rendah Wajib sebelum ini.

“Kita akan memastikan akses, fasiliti, dan bantuan pendidikan sampai kepada murid terlebih dahulu. 

“Setelah proses ini berjalan lancar, barulah undang-undang dikuatkuasakan jika terdapat kecuaian atau kelompongan,” katanya pada Sesi Libat Urus Media RUU Pendidikan (Pindaan) 2025 di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih di sini hari ini.

Fadhlina menegaskan lagi, pelaksanaan RUU berkenaan memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan hasrat kerajaan menangani masalah keciciran murid tercapai.

Bagi memperkukuh usaha itu, beliau berkata, Kementerian Pendidikan turut menjalankan program Ziarah Cakna, yang melibatkan komuniti tempatan dalam membantu mengenal pasti murid yang tidak bersekolah.

“Melalui program ini, pasukan akan mengetuk pintu dari rumah ke rumah malah guru besar dan pengetua sendiri mempunyai pelbagai pengalaman dalam mengatasi cabaran ini. 

“Saya sendiri pernah turun padang dan mendapati seorang murid masih belum bangun tidur walaupun sudah pukul 11 pagi. Ibu bapanya pula meminta saya mengejutkannya untuk ke sekolah,” katanya.

RUU Akta Pendidikan 1996 yang memperluaskan kewajipan pendidikan hingga peringkat sekolah menengah dijangka dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat akan datang.

Kementerian Pendidikan telah menyelesaikan proses semakan draf RUU tersebut bersama Jabatan Peguam Negara sekali gus menjadikannya satu langkah penting dalam memastikan semua kanak-kanak warganegara Malaysia mendapat pendidikan berkualiti.

Antara faktor utama yang menyebabkan kanak-kanak tercicir daripada sekolah adalah perkahwinan bawah umur, kesempitan ekonomi, serta keperluan bekerja.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya