RUU untuk lindungi semua pengamal gig - Utusan Malaysia

RUU untuk lindungi semua pengamal gig

MOHD. Sharkar Shamsudin (duduk, tengah)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig bukan sahaja bagi membawa perubahan kepada ekosistem industri berkenaan, tetapi juga bertujuan memberikan manfaat kepada lebih 1.16 juta penggiat bidang tersebut di negara ini demi kesejahteraan mereka.

Pengerusi Sekretariat Kesatuan Pekerja dan Gig Ekonomi UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, ekonomi gig bidang yang luas merangkumi e-hailing, p-hailing, pekerja bebas, pemuzik, pereka grafik, jurugambar perkahwinan, penulis dan penganalisis kandungan, pengurus media sosial, akauntan bebas, penyunting video dan pengaturcara.

“Penggubalan RUU ini perlu dilihat secara keseluruhan ekosistem industri gig itu. Ia bukan untuk melindungi mata pencarian dan kebajikan satu pihak sahaja tetapi semua penggiatnya.

“Jadi saya harap, semua pihak yang terlibat dalam industri ini supaya faham bahawa penggubalan RUU ini adalah penting kerana ia membabitkan soal keselamatan lebih satu juta penggiatnya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Khamis lalu, beberapa syarikat penyedia perkhidmatan ekonomi gig menggesa kerajaan memperhalusi RUU Pekerja Gig sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat bagi memastikan pelaksanaannya lebih jelas, praktikal dan tidak menjejaskan ekosistem pekerjaan fleksibel ini.

Dalam kenyataan bersama, syarikat terbabit seperti Bolt, FastGig, foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare, Lalamove dan ShopeeFood menegaskan, pendekatan yang lebih menyeluruh diperlukan bagi memastikan RUU berkenaan benar-benar memberi manfaat kepada pekerja gig serta industri secara keseluruhan.

Mereka menyatakan kebimbangan terhadap beberapa aspek dalam RUU itu, antaranya penetapan piawaian minimum industri secara sehala yang berisiko mengekang inovasi dan persaingan, sekali gus meningkatkan kos perkhidmatan kepada pengguna.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, RUU ini bertujuan menjaga kebajikan seluruh pekerja gig yang selama ini beroperasi di luar skop undang-undang buruh tradisional dan sekian lama berjuang dalam keadaan yang tidak terjamin.

“RUU ini adalah ‘game changer’ yang dilakukan kerajaan kerana hanya ada beberapa negara di dunia yang sudah melaksanakan akta ini seperti California, Amerika Syarikat, di India dan beberapa negara jiran sedang melakukannya.

“Ia dicadangkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan komitmen kerajaan ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“RUU ini akan menyediakan jaringan keselamatan untuk pekerja gig dengan perlindungan yang menyeluruh. Ia termasuk kemudahan rawatan perubatan dan simpanan masa depan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN