SHAH ALAM: Seorang runner didakwa mampu mengaut keuntungan sehingga RM750 bagi setiap slot tempahan temu janji di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) berbanding caj asal RM3.50.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, antara modus operandi yang digunakan adalah dengan menggunakan nombor casis kenderaan yang sama tetapi pendaftaran berlainan bagi 200 slot tempahan temu janji.
“Siasatan masih dilakukan dengan bantuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Kita sedang teliti, siapa dan mengapa melakukannya dan kita akan panggil (individu terlibat),” katanya, kepada pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli meninjau pemeriksaan kenderaan di Puspakom Shah Alam, hari ini.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan memberitahu, Puspakom tidak akan membenarkan tempahan slot pemeriksaan berganda selepas ini bagi nombor pendaftaran yang sama susulan mengesan penjualan slot oleh orang tengah kepada pihak lain dengan harga lebih tinggi.
Aedy Fadly menjelaskan, pihaknya sedang mendapatkan bantuan agensi berkaitan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagaimana tindakan boleh diambil kepada runner yang terlibat itu.
“Kita cuba dapatkan runner tersebut, tetapi buat masa sekarang semua saluran kita ada, tidak dapat hubungi. Jadi kita dapatkan kaedah lain utk dapatkan runner tersebut,” ujarnya. – UTUSAN