MUAR: Seorang suri rumah berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM412,443 lesap diperdaya pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Muar menerima laporan kejadian dari mangsa, wanita warga tempatan berusia 58 tahun, semalam.
“Mangsa menerima satu mesej melalui WhatsApp daripada individu tidak dikenali menawarkan satu pelaburan dalam talian. Wanita berkenaan berminat untuk sertai pelaburan ditawarkan dan telah memuat turun satu aplikasi pelaburan.
“Pada peringkat permulaan, mangsa melabur sebanyak RM500 dan mendapat untung RM67 dalam masa 24 jam.
“Setiap pelaburan yang dibuat mangsa, diberitahu hasil keuntungan oleh individu tersebut sebelum diminta membuat pelaburan besar bagi mendapat keuntungan lebih banyak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, disebabkan percaya dengan hasil keuntungan yang ditawarkan individu terbabit, mangsa membuat 35 transaksi ke dalam tujuh akaun bank berbeza berjumlah RM412,443 mulai 23 Januari hingga 6 Mac lalu.
“Mangsa mula curiga apabila dia diminta individu tersebut untuk membuat pembayaran sekiranya ingin mengeluarkan keuntungan wang yang terkumpul dalam aplikasi tersebut.
“Wanita itu bertindak menyemak semula aplikasi pelaburan yang disertai dan mendapati tiada sebarang keuntungan diperoleh. Menurut mangsa, kerugian RM412,443 berkenaan adalah wang simpanannya,” katanya.
Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun dengan sebatan dan denda.
Orang ramai dinasihatkan supaya berwaspada dan mengambil langkah berhati-hati terutama dalam urusan melibatkan transaksi kewangan. – UTUSAN