RISDA mahu hidupkan semula 100,000 hektar ladang getah terbiar - Utusan Malaysia

RISDA mahu hidupkan semula 100,000 hektar ladang getah terbiar

AHMAD Zahid Hamidi (lima dari kanan) menyerahkan sumbangan pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis, hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan untuk menghidupkan semula sekurang-kurangnya 100,000 hektar ladang getah yang tidak diusahakan atau terbiar di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah tersebut bertujuan memajukan semula sektor berkenaan sekali gus membantu penoreh getah untuk meningkatkan pendapatan mereka.

Katanya, secara keseluruhan, terdapat sekitar 420,000 hektar ladang getah termasuk bukan milik RISDA terbiar di negara ini. 

“Tanah-tanah terbiar itu adalah disebabkan oleh isu-isu semasa seperti kekurangan tenaga kerja dan ketidakstabilan harga pasaran,” katanya pada majlis santunan kasih Ramadan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, RISDA juga akan memberikan penumpuan untuk memperbanyakkan lagi pengeluaran lateks dalam negara bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import bahan mentah berkenaan.

“Pelaksanaan itu bertujuan menggantikan pengimportan lateks yang menelan belanja sebanyak RM6 bilion setahun khususnya dari negara jiran,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pengurusan RISDA  telah mengambil langkah-langkah penebangan pokok getah lama untuk dijadikan sebagai bahan utama bagi menghasilkan perabot setelah dirawat.

Katanya, pokok getah yang ditebang akan menghasilkan pendapatan kira-kira RM9 bilion setahun setelah ia dirawat untuk dijadikan sebagai perabot. 

“Ini merupakan langkah baik dan diharap pekebun kecil RISDA dapat memberi sokongan kepada pengurusan baharu ini,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya