Puspakom serah SPRM siasat isu kartel - Utusan Malaysia

Puspakom serah SPRM siasat isu kartel

MAHMOOD Razak Bahman menyampaikan duit raya kepada warga emas dari Rumah Seri Kenangan Cheras pada majlis berbuka puasa Puspakom di Shah Alam, Selangor.-UTUSAN/SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pusat pemeriksaan kenderaan berkomputer, Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) belum dapat mengesahkan kewujudan ‘kartel’ dalam kalangan ejen yang dipercayai terbabit dalam penjualan slot pemeriksaan kenderaan secara tidak sah menerusi tempahan berganda.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan tangkapan yang telah dibuat pada 21 Mac lalu. 

“Saya tidak pasti sama ada mereka ini bertindak secara individu atau sebagai satu kumpulan. Itu kita serahkan kepada SPRM untuk siasat,” katanya pada sidang akhbar Majlis Berbuka Puasa Puspakom di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, SPRM menahan seorang ejen yang dipercayai menerima rasuah kira-kira RM40,000 daripada pemilik kenderaan bagi mendapatkan nombor giliran untuk mempercepat proses pemeriksaan tanpa mengikut prosedur sah.

Tangkapan tersebut dibuat hasil operasi bersama SPRM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya dan Puspakom.

Menurut Mahmood, pihaknya telah bekerjasama rapat dengan JPJ dan SPRM bagi membanteras sebarang kegiatan yang menjejaskan hak pengguna lain.

“Setakat ini, dua tangkapan telah dibuat. Dalam terma dan syarat penggunaan sistem MyPUSPAKOM, tempahan hanya dibenarkan untuk kegunaan sendiri dan tidak boleh dijual kepada pihak lain.

“Malah, kes ini melibatkan pihak luar yang mengambil kesempatan terhadap sistem sedia ada dan menafikan peluang pelanggan lain untuk mendapatkan slot pemeriksaan secara adil,” katanya.

Beliau berkata, tindakan lanjut terhadap individu atau sindiket yang terlibat diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, Mahmood berkata, pihaknya bersedia untuk berkongsi kepakaran dan menjalinkan kerjasama dengan tiga syarikat baharu dalam industri pemeriksaan kenderaan bagi memastikan keselamatan jalan raya kekal menjadi keutamaan.

Jelasnya, Puspakom terbuka untuk berbincang dan tidak menolak sebarang kemungkinan wujudnya kolaborasi yang menguntungkan semua pihak pada masa akan datang.

Tambahnya, Puspakom menyambut baik kehadiran pemain baharu kerana ia diyakini mampu meningkatkan mutu perkhidmatan sekaligus memberi manfaat kepada pengguna.

“Saya alu-alukan persaingan. Ini akan mendorong semua syarikat untuk bekerja dengan lebih baik, yang untung adalah rakyat.

“Malah, Puspakom mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri itu dan mempunyai hampir 1.34 juta pelanggan setiap tahun. Walaupun terdapat isu integriti yang sedang kami atasi, tahap kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan kami masih tinggi,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya