GEORGE TOWN : Kerajaan negeri menjangkakan lebih 100 lot tanah dalam daerah Barat Daya dan Timur Laut akan terlibat dengan jajaran projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMK) Pulau Pinang juga telah meluluskan cadangan untuk mengambil alih tanah di sepanjang jajaran projek LRT Mutiara Pulau Pinang.
“Lebih 100 lot tanah di Barat Daya serta Timur Laut akan diambil alih untuk projek LRT dan sebarang struktur di atas sebahagian tanah ini akan diroboh atau dipindahkan.
“Ini termasuk tanah persendirian dan tanah milik kerajaan negeri seperti tanah milik Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP),” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut Kon Yeow, selepas kelulusan Exco negeri mengenai pengambilan tanah itu, lot-lot yang terlibat akan diwartakan dan notis akan dikeluarkan kepada pemilik tanah.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pampasan kepada pemilik tanah pula, Kon Yeow berkata, jumlah pampasan masih belum diputuskan kerana ia perlu dinilai oleh agensi berkaitan terlebih dahulu.
“Sesi pendengaran akan dijalankan mengenai pampasan dengan pemilik tanah dan ini akan mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum dimuktamadkan,”katanya.
Mengenai perkembangan projek LRT, Kon Yeow berkata, ketika ini, bengkel pengurusan nilai sedang dijalankan oleh Kementerian Ekonomi, MRT Corporation (MRTC) dan SRS Consortium untuk memuktamadkan reka bentuk serta kos projek.
“Dijangka pada hari akhir bengkel ini berjalan iaitu pada hari Jumaat ini, lebih banyak isu akan dimuktamadkan untuk keputusan dibuat,” katanya.
Ditanya mengenai pembangunan semula tapak pesta Sungai Nibong pula, Kon Yeow berkata, tapak itu akan dibangunkan dengan model pembangunan berorientasikan transit (TOD) kerana terdapat tanah yang tersedia di kawasan tersebut.
“MRTC telah mencadangkan pembangunan model TOD untuk mengekalkan tapak pesta kerana ia sebahagian daripada warisan Pulau Pinang. Tetapi, ia akan dibina semula dengan saiz yang lebih kecil iaitu daripada 16 ekar kepada 13 ekar,” katanya yang memberitahu, kerja-kerja fizikal bagi projek LRT itu dijangka bermula seawal suku ketiga tahun ini. – UTUSAN