Program Literasi Kewangan bantu pelajar OKU urus kewangan dengan lebih baik - Utusan Malaysia

Program Literasi Kewangan bantu pelajar OKU urus kewangan dengan lebih baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG – Sekumpulan pelajar MBA dari UKM Graduate School of Business (UKM-GSB), yang dikenali sebagai Team ELITE, telah menganjurkan Program Literasi Kewangan untuk Pelajar OKU di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Program ini bertujuan membekalkan pelajar berkeperluan khas dengan kemahiran asas pengurusan kewangan bagi membantu mereka mencapai kebebasan kewangan di masa hadapan.

Disokong oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), RHB-UKM Endowment Fund, Alkhair Malaysia, ALF Agency Sdn Bhd, serta Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad, program ini melibatkan 60 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK) Bumbong Lima.

Mereka mengikuti sesi interaktif termasuk simulasi kewangan, ceramah oleh pakar perbankan, serta latihan praktikal dalam pengurusan pendapatan, perancangan kewangan, simpanan, pelaburan, dan penggunaan instrumen kewangan digital.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Instruksional, Kementerian Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Anuar Bin Abdullah. Turut hadir ialah wakil UKM-GSB, BSN, dan RHB Bank Berhad.

Menurut wakil kepada Dekan, UKM Graduate School of Business, YBrs. Dr. Nur Laili Ab Ghani, program ini bukan sekadar membentuk pemahaman kewangan tetapi juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dengan mengurangkan ketidaksamaan pendidikan dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi golongan OKU.

“Kami mahu membina keyakinan pelajar OKU dalam mengurus kewangan mereka sendiri. Dengan ilmu yang betul, mereka lebih bersedia untuk membuat keputusan kewangan yang bijak,” katanya.

Pengarah projek, Siti Zanariah Binti Makhdar, turut menekankan kepentingan pendidikan kewangan yang inklusif.

“Kami berbangga melihat kesan positif program ini. Pendidikan kewangan adalah hak semua, termasuk mereka yang berkeperluan khas,” ujarnya.

Program ini, yang diadakan bersempena Global Money Week 2025, diharapkan dapat menjadi model bagi sekolah-sekolah pendidikan khas lain di Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN