SEREMBAN: Syarikat Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) dan Media Mulia Sdn. Bhd. meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka menerusi program Kongsi Berkat Bubur Lambuk ke destinasi kedua iaitu di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai di sini.
Program agihan dan memasak bubur lambuk itu diadakan di Kompleks Islam Tuanku Mukhriz USIM yang turut bertujuan menyantuni pelajar dan warga universiti serta mengimarahkan bulan Ramadan.
Program bermula seawal pukul 8 pagi dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk yang disertai lebih 60 individu termasuk mahasiswa, kakitangan Pusat Komunikasi Strategik USIM serta wakil Media Mulia dan Mahsuri Dagang.
Lebih 1,000 pek bubur lambuk dan produk Mahsuri Dagang yang disediakan kemudiannya diedarkan selepas solat Jumaat kepada pelajar, kakitangan serta jemaah di kompleks berkenaan.
Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang, Datuk Ahmad Tajudin Idris berkata, sebelum ini program CSR syarikat itu lebih banyak dilaksanakan di masjid serta kawasan perumahan, namun kali ini pendekatan baharu diambil dengan menyasarkan institusi pendidikan.
Katanya, Mahsuri Dagang komited untuk memperluaskan program sebegini pada masa hadapan, termasuk menyasarkan lebih banyak golongan memerlukan seperti asnaf, anak yatim dan komuniti kurang berkemampuan.
“Kami sedar universiti merupakan tempat berkumpulnya ramai mahasiswa dan ahli akademik. Ini memberi peluang kepada kami untuk bukan sahaja menyantuni mereka, tetapi mengeratkan silaturahim serta menambah keberkatan dalam bulan Ramadan.
“Industri dan masyarakat tidak dapat dipisahkan. Ini adalah salah satu peranan kami dalam memastikan manfaat program sampai kepada semua lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui, di sini kelmarin.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menyambut baik inisiatif berkenaan yang disifatkan beliau bukan sahaja membawa manfaat kepada mahasiswa tetapi turut memperkukuh hubungan universiti dengan pihak industri.
Beliau berkata, USIM sentiasa mengalu-alukan lebih banyak kerjasama dengan pihak luar, terutama dalam memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai dunia pekerjaan dan kepentingan menyumbang kepada masyarakat.
“Program ini menunjukkan bagaimana institusi pendidikan boleh bekerjasama dengan syarikat dan organisasi luar untuk memberi manfaat kepada komuniti.
“Selain mengeratkan ukhuwah, ia juga membuka ruang interaksi antara mahasiswa dan industri.
“Mahasiswa yang terlibat dalam gotong-royong memasak berpeluang berinteraksi dengan wartawan dari Media Mulia. Secara tidak langsung, ia memberi pengalaman praktikal kepada mereka dalam memahami dunia kewartawanan dan tanggungjawab sosial industri,” katanya.
Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar pula berkata, program Kongsi Berkat Bubur Lambuk yang kini memasuki tahun keempat merupakan sebahagian daripada usaha Media Mulia untuk berkhidmat kepada masyarakat.
“Kami mahu memastikan program ini tidak hanya terhad kepada satu lokasi sahaja. Oleh itu, tahun ini kami memberi tumpuan kepada institusi pendidikan, termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan USIM untuk mendekati komuniti akademik,” katanya.
Beliau berkata, Media Mulia juga sedang merancang untuk memperkenalkan kembali program Jelajah Mulia, yang sebelum ini telah membantu golongan kurang berkemampuan di enam buah negeri.
“Kami berusaha memperluaskan lagi program bantuan ini dengan sokongan penaja yang telah dikenal pasti. Insya-Allah, lebih banyak program akan dilaksanakan selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Tukang Masak, Mohd. Hafis Mohd. Yusuf berkata, penyediaan bubur lambuk berkenaan menggunakan sekitar 30 kilogram kampit beras dan 40 kilogram daging segar, yang dimasak selama empat jam bagi memastikan tekstur yang sempurna.
Menariknya, penyediaan bubur lambuk kali ini diketuai oleh seorang mempunyai kepakaran dalam penyediaan bubur lambuk dan telah terlibat dalam program ini sejak 2018.
“Saya pastikan bubur lambuk ini menggunakan bahan segar termasuk lebih 40 kilogram daging segar, bagi mengekalkan keenakan rasa. Apabila memasak untuk orang ramai, saya mahu mereka menikmati hidangan yang benar-benar berkualiti.
“Selain warga USIM, bubur lambuk ini juga diagihkan kepada balai bomba, balai polis dan penduduk sekitar,” katanya lagi.-UTUSAN.