KOTA BHARU: Premis perniagaan seperti pasar raya, restoran makanan segera dan kedai serbaneka di negeri ini wajib menutup operasinya pada 1 Syawal sempena Hari Raya Aidilfitri.
Keputusan itu selaras dengan peraturan pihak berkuasa negeri tentang penutupan operasi pada hari raya pertama untuk membolehkan pekerja muslim menyambut Aidilfitri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, pihaknya berharap semua premis perniagaan dapat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
“Sekiranya melanggar peraturan mereka (pemilik premis perniagaan) boleh dikenakan kompuan.
“Pelaksanaan peraturan ini bertujuan membolehkan semua pekerja muslim menyambut Aidilfitri. Peraturan ini bukan baharu, sebaliknya ia sudah diamalkan oleh kerajaan negeri sejak beberapa tahun lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, beberapa pihak berkuasa tempatan di negeri ini memuatnaik notis pemakluman berhubung arahan penutupan operasi semua premis perniagaan seperti pasar raya, restoran makanan segera dan kedai serbaneka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.-UTUSAN