KUANTAN: Pertubuhan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (PPNP) meneruskan acara tahunan kali keempat menerusi majlis iftar bagi menyantuni pelajar tahfiz, anak yatim, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal di Madrasah Kamaliah, Kampung Cherok Paloh di sini.
Lebih 200 orang tetamu hadir pada majlis tersebut yang merupakan anjuran bersama PPNP dengan penaja utama, Emzec Sedima Sdn. Bhd. dan kelab motosikal berkuasa tinggi, Daz Bikers.
Pengerusi PPNP, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, majlis itu bagi meraikan golongan tersebut supaya dapat bersama-sama merasai keindahan Ramadan dengan berbuka puasa bersama, selain menerima sumbangan duit raya untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Peluang berbuka puasa bersama-sama keluarga PPNP, tetamu jemputan dan menerima duit raya ini pastinya memberikan keceriaan kepada penerima sempena bulan Ramadan kali ini serta dalam persiapan menyambut Aidilfitri nanti.
“Semoga apa yang kita lakukan ini memberikan kegembiraan buat pelajar tahfiz, anak yatim, OKU dan ibu tunggal yang terlibat,” katanya ketika ditemui pada majlis iftar di Madrasah Kamaliah di Kampung Cherok Paloh di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, turut diadakan solat Maghrib, Isyak dan solat tarawih secara berjemaah.
Zuhairi yang juga penaung Madrasah Kamaliah berkata, majlis itu juga bertujuan berkongsi rezeki bersama kelompok komuniti yang tidak bernasib baik khususnya anak-anak yatim dan OKU.
“Majlis iftar ini juga dapat meningkatkan ukhuwah serta mengeratkan silaturahim antara warga PPNP, penaja utama program di samping menyantuni golongan kurang bernasib baik,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, PPNP juga merancang mengadakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi meraikan golongan petani B40 dalam pertubuhan tersebut.
“Tarikh dan lokasi majlis akan ditentukan kemudian yang berkemungkinan akan diadakan pada minggu akhir Aidilfitri.
“Kita juga akan membuat kelainan pada majlis itu nanti termasuk diadakan solat hajat bagi melancarkan segala urusan PPNP,” katanya. – UTUSAN