SHAH ALAM: Polis menempatkan anggota bagi melakukan pemantauan keselamatan dan kawalan lalu lintas di empat bazar Ramadan utama di sekitar bandar raya ini.
Lokasi itu melibatkan bazar di Stadium Shah Alam, Kompleks PKNS (Seksyen 14), Seksyen 19 dan Seksyen 20, di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya memfokuskan empat lokasi itu selepas dikenal pasti paling banyak dikunjungi berbanding 15 bazar lain.
“Justeru, seramai lapan anggota polis ditempatkan secara statik di bazar itu dan turut dibantu pasukan balai polis berdekatan.
“Penugasan itu bertujuan memastikan keselamatan orang ramai lebih terjamin selain mengawal aliran trafik supaya bergerak lancar,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persimpangan Jalan Subang, di sini, malam tadi.
Selain itu, Mohd. Iqbal, memberitahu persimpangan dikenali sebagai ‘lampu isyarat 199’ itu antara 14 lokasi aktif penugasan anggota polis trafik pada Ramadan ini.
“Bagi laluan yang sentiasa sesak itu, kita menempatkan empat anggota yang bertugas bagi dua syif bermula pukul 4.30 petang hingga 8 malam.
“Ia melibatkan enam lokasi penugasan bagi melancarkan aliran trafik keluar bandar terutama kepada penjawat awam negeri yang pulang awal dan pengguna dari Kuala Lumpur serta Klang,” ujarnya.
Tambah beliau, pemerhatian pihaknya mendapati kebanyakan pengguna jalan raya tiba di rumah sebelum pukul 7 malam berbanding sebelum ini yang terpaksa berbuka puasa di dalam kenderaan akibat kesesakan.
“Selain penugasan anggota, kita menyelaraskan lampu isyarat di kawasan tertentu bagi memberi keutamaan kepada aliran trafik keluar dan masuk ke Shah Alam pada sebelah pagi atau petang.
“Ia turut dibantu unit kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang melakukan rondaan berterusan bagi menilai keadaan trafik,” katanya. – UTUSAN