PN Perlis perlu ada calon ‘poster boy’ berkaliber berdepan PRU16 - Utusan Malaysia

PN Perlis perlu ada calon ‘poster boy’ berkaliber berdepan PRU16

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perikatan Nasional (PN) negeri akan mengenal pasti calon ‘poster boy’ yang berkaliber sebagai nilai tambah dalam usaha mempertahankan kerajaan PN di Perlis dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang disifatkan lebih mencabar.

Timbalan Pengerusi PN negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, susun atur PN negeri perlu diterapkan dengan semangat baharu menerusi calon ‘poster boy’ yang perlu diketengahkan dalam memberi semangat untuk mengekalkan kemenangan.

Katanya, calon ‘poster boy’ yang bakal diketengahkan itu juga seharusnya seorang pemimpin yang berpengalaman luas, mempunyai daya tahan diri dan boleh diterima rakyat khususnya di negeri ini.

“Kita akan pastikan untuk pertahan kemenangan ini dan disebabkan itulah penentuan calon ‘poster boy’ ini perlu diketengahkan segera.

“Sekurang-kurangnya, calon ‘poster boy’ itu mestilah mempunyai pengalaman dan rekod terbaik khususnya dalam membuat keputusan bagi menentukan kemenangan dalam PRU16 kelak,” katanya ditemui selepas program moreh santai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kangar, di sini, semalam.

Pada PRU15, PN berjaya menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di Perlis apabila memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala baki satu kerusi dimenangi calon Pakatan Harapan (PH).

Abu Bakar yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kangar berkata, PN negeri juga sedang mengkaji dan merencanakan program selepas ini bagi membuat hebahan berhubung penentuan calon ‘poster boy’ gabungan itu.

“Ini bagi memastikan calon ‘poster boy’ tersebut mendapat penerimaan baik buat semua pihak, malah kita juga akan buat pengumuman selepas ini,” katanya.

Abu Bakar berkata, PN perlu pastikan kerajaan negeri berjaya dikekalkan dalam PRU16 dengan semua parti di dalam gabungan tersebut perlu mempunyai semangat kerjasama dan penyatuan yang kukuh.

Katanya, cabaran PRU16 lebih getir berbanding pilihan raya lalu dan PN perlu bekerja lebih keras agar terus menjadi pilihan rakyat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN