PM tegur berapa ramai puasa tetapi ‘merokok’ belakang rumah

PM tegur berapa ramai puasa tetapi ‘merokok’ belakang rumah

Berpuasa
ANWAR Ibrahim berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pimpinan Masyarakat Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Umat Islam yang berpuasa seharusnya menjadikan Ramadan sebagai penanda aras dalam amalan integriti selain mengukur sejauh mana kesempurnaan ibadah sepanjang bulan tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ibadah pada bulan Ramadan secara tidak langsung melatih disiplin dan integriti untuk menilai sejauh mana kesempurnaan pelaksanaan ibadah termasuk berpuasa.

“Saudara, ibadah ini melatih kita tentang disiplin, integriti kita, apakah benar kita sudah berpuasa? Yang menentukan kita dengan Allah. Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi hisap rokok di belakang rumah.

“Berapa ramai puasa tetapi tidak menyempurnakan sepenuhnya, jadi sebab itu aspek integriti. Bagaimana kita boleh bicarakan ketakwaan kepada Allah, tetapi tidak berintegriti dalam Ramadan, pekerjaan, dalam menjalankan tugas.

“Masih ada kebocoran, rasuah, penyelewengan, masih ada rumah simpanan wang yang banyak. Mana Ramadan kita, mana kesan ibadah itu dalam kehidupan dan amalan kita. Sebab itu dimensi kedua dalam Ramadan itu, soal integriti, akhlak, moral, nilai harus diterapkan.

“Yang ketiganya tentang dimensi sosial, manusiawi, kemanusiaan, ihsan, puasa, makan, minum, lapar dan dahaga sebelumnya, tetapi langsung tak ambil tahu tentang jiran tetangga dan orang susah dalam kalangan kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pimpinan Masyarakat Selangor, hari ini.

Terdahulu, sebelum menghadiri majlis tersebut, beliau menyantuni peniaga dan pengunjung Bazar Ramadan Seksyen 2.

Tegas Anwar, bulan Ramadan ibarat mengajak umat Islam kembali ke sekolah yang disebut sebagai ‘madrasah ruhaniyah’ atau madrasah dan tarbiah ramadan.

“Maknanya, sama ada saudara itu mufti, Ketua Setiausaha Negara (KSN) atau menteri besar, ketua kampung ataupun ketua Komuniti Madani, tanpa kecuali diwajibkan berpuasa. Jadi, semua kena balik sekolah.

“Sekolah Ramadan kesempatan kita membuat penilaian, tanya berapa kali kita sudah lalui Ramadan, 30 kali. Penuh, penuh. Tetapi, lulus atau tidak, belum tentu. Ambil ujian SPM 30 kali tetapi masih lagi C- ataupun satu A sahaja daripada sembilan,” ujarnya.

Anwar dalam masa sama turut mempertikai amalan integriti sesetengah pemimpin dalam menjalankan tanggungjawab dan tugas apabila terlalu banyak mempertikai atau membantah sehingga pekerjaan itu tidak memberikan hasil.

“Kalau kita hendak selamatkan bangsa dan negara, kita mesti berani ambil tindakan walaupun tidak disenangi oleh semua pihak.

“Kalau hendak dengar celoteh mereka, sampai bila tak boleh jadi kerja. Semua dibuat tak betul, suruh dia buat, dia tak buat. Bagi peluang mereka memerintah, langsung tak buat. Yang ada banyak untung. Jadi, bulan Ramadan slow sedikit,” ucapnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya