PKPS, KBRS tandatangan perjanjian Projek Tanaman padi, Pembekalan Beras Ehsan

PKPS, KBRS tandatangan perjanjian Projek Tanaman padi, Pembekalan Beras Ehsan

Beras Ehsan
AMIRUDIN Shari menyaksikan permeteraian memorandum kerjasama antara PKPS dan KBRS, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Kilang Beras Rakyat Sekinchan Sdn. Bhd. (KBRS) menandatangani memorandum perjanjian (MOA) kerjasama pelaksanaan Projek Tanaman Padi dan Pembekalan Beras Ehsan.

Perjanjian kerjasama tersebut dimeterai menerusi Inisiatif Jelapang Padi Darul Ehsan untuk memberi manfaat kepada lebih 5,000 pesawah melibatkan sehingga 6,070.28 hektar sawah padi di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Inisiatif Jelapang Padi Darul Ehsan merupakan usaha kerajaan negeri untuk memastikan Selangor menjadi peneraju industri pertanian negara.

“Kerjasama antara PKPS dan KBRS ini bukan sahaja memberi manfaat kepada lebih 5,000 pesawah, malah turut membantu menstabilkan bekalan dan harga beras untuk rakyat.

“Melalui program Jelapang Padi Darul Ehsan, sebanyak 15,000 ekar (6,070.28 hektar) sawah akan dimanfaatkan dengan penggunaan teknologi moden yang lebih cekap dan menguntungkan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani memorandum kerjasama, semalam.

Jelasnya, seiring dengan inisiatif tersebut, kerajaan negeri juga memperkenalkan langkah-langkah sokongan kepada pesawah, antaranya mewujudkan Insentif Kewangan kepada pesawah.

Sejak Jun 2023, sebanyak RM500 disalurkan kepada 9,000 pesawah yang terjejas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Datuk Dr. Mohamad Khairil Mohamad Razi memberitahu, penggunaan kaedah transplanting atau tanam calit akan diperkenalkan dalam usaha meningkatkan hasil padi dan pendapatan pesawah.

“Kaedah itu mampu meningkatkan hasil padi sebanyak 78 peratus, mengurangkan penggunaan benih kepada separuh, dan menjimatkan masa penanaman.

“Dengan peralihan kepada kaedah ini, hasil padi dijangka meningkat kepada 75,000 metrik tan setahun, sekaligus meningkatkan pendapatan pesawah sehingga RM39.6 juta setahun,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya