TANAH MERAH: Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan penyeludupan beras dari Thailand selepas merampas barangan itu seberat 21,640 kilogram (kg) dalam dua serbuan berasingan di Kampung Jakar, Bukit Bunga di sini semalam.
Komandernya Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, rampasan pertama pukul 6 pagi itu dilakukan PGA selepas menahan sebuah treler yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di sebuah kawasan kebun di Kampung Jakar.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas treler itu telah menjumpai sebanyak 20,240 kg beras putih yang disyaki diseludup dari negara jiran melalui pangkalan haram.
“Rampasan keseluruhan termasuk sebuah treler yang membawa beras-beras itu dianggarkan bernilai RM451,000.
“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Agensi Kawal Selia Padi dan Beras Negara (AKSPBN) Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, sejam kemudian pihaknya pihak berjaya merampas 1,400 kg beras yang ditemukan dalam sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero di lokasi yang sama.
Katanya, pemandu pacuan empat roda itu telah bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan tersebut.
“Rampasan keseluruhan beras dan kenderaan itu dianggarkan bernilai RM 43,500. Barangan rampasan dibawa ke AKSPBN Kelantan untuk tindakan selanjutnya.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994,” ujarnya.
Nik Ros Azhan berkata, PGA tidak menolak kemungkinan beras tersebut untuk menampung permintaan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.-UTUSAN