TUMPAT: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan menggagalkan cubaan menyeludup empat pendatang asing tanpa izin dari etnik Rohingya semasa umat Islam sedang berbuka puasa selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas di Jambatan Ular, Pengkalan Kubor di sini semalam.
Kesemua PATI berusia 12 hingga 16 tahun itu ditahan pada pukul 7.35 malam itu menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa melakukan rondaan rutin itu pihaknya telah ternampak sebuah MPV jenis Proton yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota bertugas terus mengekori dan semasa cuba menahan MPV itu telah terbabas di bahu jalan.
“Pemandu MPV itu kemudian bertindak melarikan diri. Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menjumpai empat lelaki entik Rohingya.
“Kesemua mereka dipercayai masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak sah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, kesemua PATI itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Balai Polis Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.-UTUSAN