Pesta Moreh Rhu Berderu inspirasi filem Mamat Khalid - Utusan Malaysia

Pesta Moreh Rhu Berderu inspirasi filem Mamat Khalid

SEBAHAGIAN daripada pengunjung Pesta Moreh Rhu Berderu 2.0 di Laman Pokok Rhu, Jalan Pantai, Kampung Sura Tengah, Dungun, Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Pengunjung Pesta Moreh Rhu Berderu 2.0 di Laman Pokok Rhu, Jalan Pantai, Kampung Sura Tengah di sini, dapat menikmati juadah moreh dalam suasana bersantai yang diinspirasikan daripada filem-filem legenda pengarah filem terkenal, Allah­yarham Mamat Khalid.

Gerai-gerai di tapak pesta itu dihias dengan konsep warung kampung dan diterapkan dengan elemen tradisional yang dapat mengimbau nostalgia zaman dahulu.

Pengerusi Koperasi Majlis Perbandaran Dungun Berhad (Kopedu), Ahmad Tarmizi Ghazali berkata, sebanyak 60 gerai jualan makanan dan minuman yang dibuka di tapak pesta itu didekorasikan daripada filem-filem bertajuk Man Laksa dan Hantu Kak Limah.

Katanya, gerai-gerai tersebut turut menawarkan pelbagai juadah moreh dan makanan tempatan termasuk menu istimewa seperti laksa, kuih tradisional serta pelbagai jenis minuman popular.

“Kami cuba menghidupkan semula suasana yang sering dipaparkan dalam filem arwah Mamat Khalid yang penuh dengan nilai kemasyarakatan dan nostalgia kampung.

“Gerai-gerai di sini dihias dengan konsep warung kampung selain ditambah dengan elemen tradisional yang mengingatkan kita kepada filem-filem arwah Mamat Khalid,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ahmad Tarmizi berkata, pengunjung teruja dengan suasana santai di pesta itu sambil mengimbau nostalgia zaman dahulu.

Malah, katanya, penganjuran tahun kedua pesta itu pada bulan Ramadan ini mendapat sambutan yang lebih menggalakkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri menyambut baik usaha ber­kenaan apabila menjadikan pesta moreh itu sebagai produk pelancongan yang unik di Terengganu.

“Saya mencadangkan supaya kawasan ini diwartakan sebagai destinasi pelancongan baharu di Dungun kerana berpotensi menjadi tarikan sepanjang tahun sekiranya program ini diteruskan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya