Perniagaan bazar Aidilfitri merosot 50% - Utusan Malaysia

Perniagaan bazar Aidilfitri merosot 50%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pendapatan diperoleh peniaga-peniaga di bazar-bazar Aidilfitri didapati merosot sehingga 50 peratus pada tahun lalu disebabkan peralihan orang ramai yang membeli kelengkapan hari raya secara dalam talian.

Data tersebut diperoleh Persatuan Pengguna Kedah (Cake) yang melakukan kajian dan tinjauan lapangan sepanjang bulan Ramadan sebelum ini.

Malah, trend pembelian secara fizikal ke bazar atau gerai-gerai itu juga semakin menurun saban tahun sejak negara me­nguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 pada 2020.

Presiden Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, walaupun terdapat pengguna yang masih berkunjung ke bazar Aidilfitri namun ia hanya untuk ‘menjamu’ mata atau berjalan-jalan bersama keluarga pada waktu malam.

“Banyak faktor yang membuatkan pengguna semakin ramai beralih membeli secara dalam talian antaranya sudah tentu kerana harganya yang jauh lebih murah di samping potongan harga sehingga 50 ke 70 peratus.

“Tetapi ada juga yang berbuat demikian kerana sudah terbiasa membeli barangan atau kelengkapan secara dalam talian sejak Covid-19 di mana pengguna ketika itu tidak dapat keluar untuk membeli-belah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohamad Yusrizal berkata, melalui tinjauan Cake ke bazar-bazar utama di negeri ini, rata-rata peniaga mengeluh kerana kehilangan pendapatan sehingga 50 peratus apabila tidak ramai pelanggan.

“Semalam pun saya ada turun ke bazar, kalau kita tengok di tapak-tapak bazar ini memanglah kelengkapan raya dijual pada harga lebih mahal disebabkan peniaga terpaksa menanggung kos sewaan yang tinggi daripada penganjur.

“Jadi mereka akan menjual lebih mahal berbanding harga di pasar raya dan juga dalam talian. Disebabkan itu kami risau budaya bazar Aidilfitri ini akan pupus suatu hari nanti disebabkan pengguna tidak lagi berbelanja di situ,” katanya.

Beliau justeru mencadangkan agar pihak penganjur termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengkaji semula caj sewaan tapak bazar supaya dapat mengurangkan kos peniaga yang seterusnya mampu menawarkan harga lebih kompetitif dengan dalam talian.

Bagaimanapun, pengguna diingatkan membuat pilihan bijak kerana walaupun harga barang dalam talian lebih murah ia masih memiliki risiko tersendiri.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya