Perkenal cukai khas minyak sawit mentah - Utusan Malaysia

Perkenal cukai khas minyak sawit mentah

MOHD. FIRDAUS ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Isu kekurangan bekalan minyak masak di pasaran yang berterusan membelenggu rakyat boleh diatasi menerusi pelaksanaan cukai khas RM100 bagi setiap satu tan metrik minyak sawit mentah (MSM) kepada semua pengeluar tempatan.

Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah berkata, Malaysia mengeluarkan kira-kira 20 juta metrik tan minyak setahun dan jika dikenakan cukai RM100 setiap satu metrik tan, kerajaan mampu memperoleh RM2 bilion setahun.

Jelasnya, menerusi RM2 bilion tersebut, ia boleh digunakan kerajaan bagi menampung subsidi minyak masak kepada semua pengguna.

“Ketika ini, subsidi diberikan kerajaan RM2 bilion dan untuk menyelesaikan isu ketirisan serta kenaikan harga minyak sawit mentah di pasaran, jadi RM2 bilion tersebut sudah mencukupi.

“Cukai khas ini sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap semua pemain minyak sawit negara dan juga mengenang budi semua rakyat yang merupakan pengguna produk minyak kelapa sawit sejak sekian lamanya.

“YPNM percaya jika minyak masak bersubsidi diberikan kepada semua golongan masyarakat, ia akan mengekang kenaikan harga makanan oleh pengusaha gerai makanan, goreng pisang, kuih-muih, keropok mahupun restoran,” katanya di sini semalam.

Harga semerta MSM dijangka kekal disokong paras semasa, diniagakan dalam julat RM4,500 hingga RM4,600 satu tan metrik bulan ini.

CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd. dilaporkan berkata, bekalan minyak sawit kekal terhad pada bukan ini, dengan waktu kerja lebih singkat sepanjang bulan Ramadan, yang mungkin mengurangkan produktiviti pekerja.

Syarikat itu menjangkakan eksport minyak sawit akan kekal lemah pada bulan ini berikutan catuan permintaan di tengah-tengah harga premium MSM berbanding pesaing minyak sayuran.

Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, menerusi pelaksanaan cukai khas tersebut, kerajaan tidak perlu memikirkan lagi untuk memperkenalkan subsidi bersasar minyak masak kerana ia pendekatan terbaik supaya tidak ada mana-mana pihak tercicir menikmatinya.

“Jadi, dalam bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri, sudah tentu umat Islam membeli bekalan minyak masak dalam kuantiti banyak untuk membuat kuih muih persiapan hari raya.

“Kekurangan minyak masak di pasaran ketika ini memberi tekanan pada semua pengguna khusus umat Islam yang bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi. Kerajaan harus bertindak menyelesaikan isu ini dengan kadar segera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN