Penyasaran subsidi petrol RON95 tak perlu kad baharu - Utusan Malaysia

Penyasaran subsidi petrol RON95 tak perlu kad baharu

KERAJAAN dijangka me­laksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini .-UTUSAN/GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyasaran subsidi petrol RON95 tidak memerlukan penggunaan kad baharu ke­rana ia hanya akan menyukarkan rakyat untuk menyimpan dan menggunakannya.

Penganalisis Ekonomi dan Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, penggunaan kad tambahan memerlukan pembangunan infrastruktur serta sistem pemprosesan yang mungkin membebankan,

Sebaliknya, beliau mencadangkan mekanisme terbaik bagi pe­nyasaran subsidi bahan api itu adalah melalui e-wallet atau menerusi penggunaan MyKad.

“Majoriti penduduk dewasa sudah mempu­nyai e-wallet. Bagi mereka yang tidak mempunyai kemudahan itu, MyKad boleh digunakan sebagai alternatif.

“MyKad juga mempunyai kelebihan tambahan kerana ia menyokong fungsi penyimpanan wang menerusi aplikasi Touch ‘n Go,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kerajaan dijangka me­laksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini dengan mekanisme terbaik sedang dikenal pasti agar manfaatnya sampai kepada kumpulan sasar serta mencapai objektif ditetapkan.

Bagi mengelakkan pe­nyalahgunaan MyKad, Ahmed Razman me­negaskan maklumat pe­nerima perlu dimasukkan dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

“Ia membolehkan ke­rajaan mengenal pasti sama ada seseorang individu memiliki kenderaan atau sebaliknya selain sistem berkenaan boleh mengesan jenis kende­raan, serta anggaran purata perbelanjaan minyak setiap bulan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya