PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah penting untuk diberikan penekanan bagi memperkukuh dasar Islam dalam pendidikan demi pembangunan ummah.
Perdana Menteri berkata, justeru kerajaan sudah mengambil beberapa ikhtiar dalam membina kekuatan dalaman umat Islam serta memperkasa peranan institusi pondok di negara ini.
“Saya amat menghargai pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh tuan guru, terutamanya dalam soal pendidikan turath serta cadangan untuk memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia.
“Dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang serta menghindari kebencian.
“Saya turut mendengar dengan sepenuh perhatian saranan agar usaha penjelasan mengenai inisiatif Kerajaan Madani dalam memperkukuh Islam dapat dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh,” katanya menerusi kenyataan di akaun Facebook miliknya hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan rombongan guru dan alim ulama pondok serta madrasah dari Kelantan di Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Anwar berkata, pertemuan itu membuka ruang yang bermakna untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu.
Beliau juga berharap pertemuan sebegitu dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia menjadi wahana sangat bernilai dalam merangka usaha bersama demi kemaslahatan umat dan negara.
“Buah fikiran dan nasihat para tuan guru amat saya hargai, dan saya percaya ia terpancar daripada keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya.
“Kami sependapat dalam banyak perkara, titik persamaan itu lebih besar daripada perbezaan. Dalam ruang sama, saya turut menekankan tentang perkembangan komunikasi serta kerjasama yang semakin erat dengan Menteri Besar Kelantan,” katanya.-UTUSAN.