KANGAR: Seorang Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu pasangan suami isteri, pada 17 Mac 2021 lalu.
Tertuduh, Mohd Azizi Othman, 46, mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sesyen, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut pertuduhan, Mohd Azizi didakwa telah menipu Noor Atiqah Mohd Rohaimee@Mohd Abdul Halim, 26, dan Mohamad Shafiq Alias, 30, dengan cara memperdayakan pihak terlibat.
Tertuduh didakwa cuba memperdayakan mangsa bagi mempercayai bahawa dia boleh mendapatkan khidmat guaman untuk permohonan pengesahan anak di Mahkamah Tinggi Syariah Kangar.
Di samping itu, tertuduh turut didakwa telah mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai sebanyak RM3,000 namun tidak melakukan perkhidmatan tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah Kangar pada 17 Mac 2021.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh sehingga lima tahun, atau denda atau keduanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Fariz Abdul Hamid dan pegawai pendakwa SPRM, S. Sujatha, manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhair Mohd. Zakuan dan Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.
Semasa prosiding, Ahmad Fariz memohon tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain turut tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Zuhair bagaimanapun memohon agar mahkamah dapat mengurangkan jumlah jaminan kerana anak guamnya menanggung empat anak serta bapa mentua yang uzur.
Katanya, tertuduh juga merupakan seorang penjawat awam yang mempunyai pendapatan sebanyak RM4,000 sebulan dan tidak berisiko untuk melarikan diri.
Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia serta perlu melaporkan diri setiap bulan setiap di balai polis. Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 April depan dan tertuduh turut membayar wang jaminan ditetapkan.-UTUSAN