KUANTAN: Peniaga dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dinasihatkan supaya bertanggungjawab dalam menjalankan peranan masing-masing.
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, dalam keghairahan untuk menyambut lebaran, sudah pasti para peniaga melipatgandakan usaha untuk sumber pendapatan dengan menawarkan barang niaga yang menarik perhatian pembeli.
“Apa jua bentuk urusniaga dijalankan perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan antaranya peniaga perlu memohon lesen atau permit perniagaan manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyediakan tempat yang khusus dan selamat untuk semua pihak.
“Apabila tiba pada suatu isu atau permasalahan, ia perlu diselesaikan dengan cara yang paling wajar serta tidak melibatkan sebarang kekecohan apatah lagi kecederaan,” titah baginda.
Dalam pada itu Al-Sultan Abdullah turut menasihatkan agar peniaga di Pahang mempunyai lesen dan mematuhi undang-undang ditetapkan manakala penguatkuasa pula perlu berhemah dalam segala tindakan yang diambil perlu penuh dengan budi-bicara tanpa melibatkan sebarang kerosakan mahupun kecederaan.
Sementara itu, Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkesempatan meluangkan masa menziarahi peniaga belon yang terlibat dalam insiden dengan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat lalu.
Muhammad Zaimuddin Azlan yang lebih dikenali sebagai ‘Abang Belon’, 28, kini dirawat di Hospital Serdang akibat kecederaan selepas bergelut dengan penguatkuasa yang cuba merampas barang jualannya. – UTUSAN