Peniaga bazar berkuku panjang, tiada suntikan anti tifoid

Peniaga bazar berkuku panjang, tiada suntikan anti tifoid

Suntikan tifoid
MOHAMAD Yusli Askandar (tengah) bersama pendayung Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan pada program itu di Klang, Selangor, semalam. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Berkuku panjang dan tidak mendapatkan suntikan anti tifoid yang diwajibkan pihak berkuasa, antara 41 kompaun kesalahan yang dikeluarkan ke atas peniaga bazar Ramadan di sekitar Kuala Selangor setakat kelmarin.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Yusli Askandar berkata, pihaknya dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Selangor (PKDKS) menjalankan operasi pemeriksaan ke atas lapan bazar sejak 2 Mac lalu.

Menurutnya, pelaksanaan operasi melibatkan 965 pengendali makanan dan 693 petak niaga itu memfokuskan pematuhan peraturan kebersihan dan kesihatan makanan.

“Sepanjang tempoh 11 hari Ramadan, pemeriksaan mendapati pelbagai kesalahan dilakukan peniaga seperti berkuku panjang dan tiada suntikan anti tifoid selain tidak memakai apron, topi serta kasut.

“Selain itu, Jabatan Penguatkuasaan MPKS mengeluarkan 33 kompaun kepada peniaga yang tiada memiliki lesen perniagaan,” katanya pada program Nur Ramadan: Menyantuni Media dan Pendayung Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan.

Jelas Mohamad Yusli, pihaknya turut mengambil pensampelan makanan di bazar bagi analisis mikrobiologi.

“Pensampelan itu melibatkan lauk yang dijual bagi memastikan ia selamat dimakan dan tidak mengandungi pencemaran berbahaya. Langkah itu dilakukan bagi mengurangkan risiko penyakit bawaan makanan dan memastikan kualitinya lebih terjamin,” ujarnya.

Tambah beliau, PKDKS turut mengedar risalah amalan pengendalian makanan yang betul kepada pengunjung bazar.

“Inisiatif itu bertujuan mendidik masyarakat mengenai kepentingan kebersihan makanan dan peranan mereka dalam memastikan keselamatan makanan yang dibeli.

“Kami juga berharap operasi pemeriksaan itu dapat meningkatkan lagi kesedaran peniaga untuk kekal mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya