KUALA LUMPUR: Seorang pengurup wang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata, suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, suspek tiba-tiba mengadu mengalami masalah jantung.
“Kami segera merujuknya kepada doktor yang mengesahkan bahawa dia mengalami masalah jantung tersumbat. Suspek dilepaskan kerana keadaan kesihatannya untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya mungkin akan mengambil percakapan Ismail Sabti yang juga Ahli Parlimen Bera itu beberapa hari lagi.
“Saya tidak dapat meramalkan bila proses ini akan selesai, tetapi saya boleh katakan ia akan mengambil beberapa sesi lagi.
“Berhubung kemungkinan pendakwaan, saya boleh katakan beberapa lagi individu lain yang kami perlu ambil keterangan,” katanya.
Azam sehubungan itu menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh, adil, dan telus mengenai kes ini,” katanya.
Ismail Sabri disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.- UTUSAN