KOTA BHARU: Polis Kelantan mendedahkan ramai pengasas produk kecantikan dan pempengaruh di negeri ini dikesan terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah serta penggubahan wang haram.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, ia berpandukan kepada kejayaan tangkapan yang telah dilakukan oleh pasukan berkenaan sebelum ini.
Menurutnya, Polis Kelantan sama sekali tidak akan berkompromi dan sedia mengambil tindakan tegas keatas individu terlibat jika mereka dikesan terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.
“Kes pertama pada tahun 2020 lalu yang melibatkan tangkapan seorang usahawan kosmetik bergelar Datuk Seri bersama dadah bernilai RM5 juta. Perniagaan nampak berjaya, namun sebenarnya menjadi topeng kepada kegiatan haram.
“Kes kedua pula membabitkan tangkapan usahawan kosmetik bergelar Datin atas kesalahan mengedar dadah pada tahun 2021. Mereka menggunakan modus operandi sama iaitu menggunakan perniagaan untuk menyembunyikan jenayah,” katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi aplikasi TikTok.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, pada tahun 2024 poli mengesan sindiket dadah dikuasai ahli perniagaan di negeri ini yang menyaksikan golongan itu menjadi dalang kepada kegiatan berkenaan.
“Mereka cuci duit haram melalui perniagaan dan guna individu lain untuk mengaburi pihak berkuasa,” ujarnya.-UTUSAN