MELAKA: Seorang penganggur menerima padah apabila ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Banda Hilir.
Suspek berusia 22 tahun dan berasal dari Johor itu pada awalnya dijanjikan pekerjaan oleh seorang kenalan, rupa-rupanya digunakan sebagai pengedar dengan tawaran gaji antara RM600 hingga RM700 seminggu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, penahanan suspek dilakukan dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 1 Mac lalu.
“Hasil serbuan yang dilakukan pada pukul 10 malam, pihak polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM54,600 yang dipercayai untuk pasaran tempatan.
“Antara dadah yang dirampas ialah 62 botol minuman pelbagai jenama mengandungi cecair methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM17,500; 105 peket serbuk minuman mengandungi bahan sama bernilai RM31,500; 21.81 gram serbuk ketamin (RM4,000), 5.54 gram pil Erimin 5 (RM400) serta 10.92 gram pil ekstasi (RM1,200),” katanya dalam satu siding media yang diadakan di IPD Melaka Tengah, di sini hari ini.
Menurut Christopher, jumlah keseluruhan dadah yang dirampas itu mampu digunakan oleh seramai 21,159 penagih dan dipercayai sudah ada pembelinya.
Katanya, selain itu, sebuah motosikal jenama WMOTO milik suspek bernilai RM3,800 turut disita, menjadikan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM58,400.
“Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan kenderaan sebagai stor penyimpanan dadah sebelum menghantarnya kepada pelanggan menggunakan motosikal. Aktiviti tersebut dipercayai telah dijalankan sejak sebulan lalu.
“Jiran yang curiga dengan pergerakan suspek yang kerap keluar masuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis, yang akhirnya berjaya menumpaskan kegiatan ini,” katanya.
Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan rekod menunjukkan dia mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kes pergaduhan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan sekurang-kurangnya 15 kali jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 8 Mac untuk siasatan lanjut.
Polis menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui hotline JSJN di talian 012-2087222. – UTUSAN