BALI: Syarikat penerbangan Australia membatalkan beberapa penerbangan ke Bali hari ini, berikutan letusan gunung berapi Lewotobi Laki-Laki memuntahkan awan abu setinggi lebih lapan kilometer (km).
Letusan besar gunung berapi di wilayah Nusa Tenggara Timur pada pada malam Khamis berlaku selepas puluhan letusan kecil sejak 13 Mac, menurut agensi geologi negara dalam satu kenyataan.
Jurucakap agensi mitigasi bencana memberitahu Reuters, seorang individu cedera semasa operasi pemindahan.
Bagaimanapun, beliau tidak mempunyai butiran segera mengenai saiz atau logistik pemindahan itu.
Jetstar, anak syarikat tambang rendah Qantas Airways, membatalkan penerbangan antara Australia dan pulau peranginan Bali pada pagi ini akibat abu gunung berapi, namun menjangkakan penerbangan akan disambung semula pada petang.
Jurucakap lapangan terbang Bali berkata, terminal itu masih beroperasi, dengan tujuh penerbangan antarabangsa dibatalkan pada pagi ini dan beberapa penerbangan domestik mengalami kelewatan.
Menurut laman web Lapangan Terbang Changi, beberapa penerbangan antara Bali dan Singapura ditangguhkan atau dijadualkan semula.
Ini termasuk penerbangan yang dikendalikan oleh Singapore Airlines, Scoot dan Jetstar.
Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan ribuan penduduk dipindahkan ketika gunung berapi Lewotobi Laki-Laki meletus pada November 2024, menjejaskan kampung berdekatan dengan batu panas dan aliran lava.
Setakat ini, belum dipastikan jumlah penduduk yang terjejas akibat letusan semalam.
Agensi geologi memberi amaran mengenai banjir lahar dan melaporkan beberapa letusan kecil pada awal pagi ini.- AGENSI