JOHOR BAHRU: Kegirangan menanti kedatangan Hari Raya Aidilfitri bagi rata-rata penduduk Kampung Maju Jaya, di sini bertukar suram apabila mereka berdepan banjir terburuk yang melanda kampung itu, semalam.
Menurut ketua kampung, Roslan Hassan, hampir 80 peratus kediaman di kampung itu ditenggelami banjir dengan setiap isi rumah mengalami kerugian ribuan ringgit.
“Ketika bah melanda, saya sibuk menguruskan pemindahan penduduk sehingga rumah sendiri tidak sempat diuruskan. Anak-anak ketika itu bersekolah manakala isteri panik apabila keseorangan berdepan air naik dengan cepat sebelum berpindah keluar.
“Jadi, banyak kelengkapan Aidilfitri yang dibeli sebelum ini tak sempat diselamatkan. Lebih menyedihkan, perabot yang baru dibeli Isnin lalu turut rosak disebabkan banjir,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.
Seorang penduduk, Mastam Gareng, 71, pula tidak menjangkakan akan berlaku banjir besar kerana yang berlaku sebelum ini hanya setinggi paras buku lali.
“Saya tinggal di sini dari 1959, memang selalu banjir sebab rumah tepi sungai tapi tahun ini paling teruk.
“Barangan habis tenggelam, persiapan raya seperti pakaian dan bahan mentah untuk kerepek semua sudah rosak,” katanya lagi.-UTUSAN.