JERANTUT: Seorang pemuda maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu di kilometer 6, Jalan Jerantut-Maran di sini hari ini.
Ketua Polis Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad berkata, dalam kejadian pukul 3.50 pagi, mangsa Wan Taufiq Haikal, 23, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC dalam perjalanan dari Maran ke bandar Jerantut.
“Setiba di tempat kejadian, mangsa melanggar seekor lembu yang melintas dari kiri ke kanan jalan. Akibat kemalangan ini, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk bedah siasat, ” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah di sini hari ini.
Zukri berkata, kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN