KANGAR: Koperasi kariah masjid perlu diperkasakan sebagai salah satu strategi utama mengukuhkan ekonomi umat Islam.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, institusi masjid sejak zaman Rasulullah SAW bukan sekadar tempat ibadah, tetapi juga merupakan pusat pembangunan ummah dan penyebaran syariat Islam.
Titah baginda, masjid adalah berfungsi dan berperanan sebagai pusat pendidikan, penyatuan masyarakat dan penggerak ekonomi komuniti.
“Justeru itu, saya melihat usaha Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam memperkasa
koperasi kariah masjid ini amat bertepatan dan sinonim dalam melaksanakan pembangunan ummah secara holistik,” titah baginda pada majlis kempen penubuhan koperasi kariah masjid Perlis di sini, semalam.
Ketibaan baginda disambut Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Rahimi Ismail dan Anggota Lembaga Angkasa, Datuk Kamarudin Ismail.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, dalam landskap ekonomi hari ini, koperasi mampu memainkan peranan penting sebagai medium pembangunan sosio ekonomi yang inklusif dan mampan.
“Dengan menggembleng usaha, tenaga, modal dan idea daripada semua lapisan anggota, pelbagai perusahaan dapat dibangunkan dengan tujuan memberi kesejahteraan kepada anggota koperasi itu sendiri.
“Pembangunan dan pemerkasaan koperasi kariah masjid bukan sahaja dapat membantu menjana pendapatan anggota malah memperbaiki taraf sosio ekonomi rakyat khususnya kepada golongan yang memerlukan dan terpinggir,” titah baginda.
Sementara itu, Kamarudin berkata, sehingga Jun tahun lalu, sebanyak 576 buah koperasi kariah masjid telah ditubuhkan di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 47, 832 orang melibatkan RM15.96 juta syer/yuran.
Katanya, secara keseluruhan, koperasi kariah masjid hanya sekitar sembilan peratus daripada kira-kira 6,828 buah masjid di negara ini.
“Manakala di Perlis terdapat 15 buah koperasi kariah masjid berbanding jumlah keseluruhan 101 masjid di negeri ini, jadi ini menunjukkan masih banyak lagi potensi yang boleh kita manfaatkan secara bersama,” katanya.-UTUSAN