GUA MUSANG: Seorang pemandu dan penumpang terpaksa menahan kesakitan selama dua jam akibat tersepit selepas treler yang dinaiki bertembung sebuah lori di Kilometer 7, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 10.20 pagi itu, pemandu treler berusia 23 tahun dan penumpang mengalami kecederaan pada tangan dan kaki sementara pemandu, 28, luka ringan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian treler berkenaan dari arah Gua Musang menghala ke arah Kuala Krai.
“Semasa tiba di lokasi sebuah lori dari arah yang sama cuba membuat pusingan U di kawasan tanah lapang sebelah kiri jalan menghala ke arah Kuala Krai.
“Selepas membuat pusingan U dibuat, pemandu lori cuba untuk masuk ke laluan utama kembali dan ingin menghala ke arah Gua Musang. Tiba-tiba sebuah treler dari arah Gua Musang yang berada di laluan sahnya tidak sempat mengelak lalu bertembung sebelum terbalik,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, ekoran itu pemandu serta penumpang treler telah tersepit dan pihak bomba mengambil masa dua jam untuk keluarkan semua mangsa.-UTUSAN