PASIR PUTEH: Seorang pejalan kaki maut selepas dipercayai dilanggar sebuah lori ketika melintas di Kilometer 21.5 Jalan Melawi-Kuala Besut berhampiran stesen minyak dekat Kampung Kuala Semerak di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 6.40 pagi itu, mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri maut di lokasi.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian mangsa yang berusia 30-an telah melintas jalan secara tiba-tiba.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan lori yang datang dari arah Tok Bali menghala ke Kuala Besut tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa.
“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu lori berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Zaizul memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk bedah siasat.
Katanya, kes masih disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait kemalangan itu boleh terus ke balai polis berdekatan atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Aliah Syafinah Sarudin di talian 013-6706156 bagi membantu siasatan,” ujarnya.-UTUSAN