Pegawai Imigresen didakwa terima rasuah RM47,600 - Utusan Malaysia

Pegawai Imigresen didakwa terima rasuah RM47,600

PEGAWAI Imigresen (tengah) mengaku tidak bersalah menerima suapan bernilai RM47,600 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah atas 22 pertuduhan meminta dan menerima rasuah RM47,600 bagi melindungi pekerja asing tanpa permit sah di sekitar daerah Temerloh, Raub dan Cameron Highlands.

Tertuduh, Kamarul Amili Zainal Ariffin, 39, membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim Sazlina Safie ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pegawai Imigresen KP19 di Jabatan Imigresen Pahang didakwa meminta dan menerima wang rasuah antara RM900 hingga RM3,000 secara bulanan daripada beberapa pengusaha pusat hiburan, pusat refleksologi, pemilik kebun dan kilang kayu sebagai balasan melindungi pekerja-pekerja asing tanpa permit sah daripada tindakan pihak Imigresen.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas di Pejabat Imigresen Daerah Temerloh antara tahun 2018 hingga 2022.

Sebanyak 10 pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 membabitkan jumlah rasuah RM15,800.

Bagi kesalahan itu, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Sebanyak 12 lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan membabitkan nilai rasuah RM31,800 dan jika bersalah boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Kamariah Seman manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Syed Azimal Syed Abu Bakar. Mahkamah menetapkan 29 April depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN