PETALING JAYA: Seramai 4,730 tenaga kerja profesional yang bekerja di luar negara sudah kembali berkhidmat di tanah air melalui Program Kepulangan Pakar (REP) sejak tahun 2011.
Sehingga Disember 2024, TalentCorp telah menerima 11,402 permohonan daripada tenaga kerja profesional Malaysia yang berada di luar negara untuk kembali ke tanah air.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, daripada jumlah keseluruhan permohonan yang diterima, sebanyak 7,241 pemohon telah diluluskan dengan 4,730 daripadanya sudah pun kembali ke negara.
“Kerajaan juga melaksanakan Inisiatif Malaysia @ Heart (MyHeart) yang bertujuan mengoptimumkan sumbangan diaspora Malaysia di mana sahaja mereka berada.
“Berdasarkan kaji selidik pada awal tahun 2021, sebanyak 92 peratus diaspora bersedia menyumbang kepada negara dalam pelbagai kapasiti dan 85 peratus bersedia kembali ke tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) berhubung keberkesanan program TalentCorp seperti MyHeart dalam membawa pulang diaspora Malaysia di luar negara.
Steven berkata, kerajaan juga memperkenalkan program MyHeart Career and Facilitation Fair (MyHeart CaFe) yang berfungsi sebagai jambatan antara bakat global Malaysia di luar negara dan syarikat-syarikat bereputasi tinggi di Malaysia.
Katanya, ia telah menarik minat 1,499 diaspora dan menyediakan 1,981 peluang pekerjaan dari 59 syarikat terkemuka sejak 2022.
“Kita juga ada Program Young Global Leader (YGL) yang bertujuan membina generasi pemimpin masa depan yang akan menyumbang kepada komuniti pelajar secara lebih meluas.
“Sejak 2023 hingga Disember 2024, seramai 2,792 pelajar Malaysia di luar negara telah mendapat manfaat daripada program ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga melaksanakan Program Cuti Semester (SBP) yang mensasarkan pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di luar negara untuk menyertai sesi eksklusif bersama pemimpin korporat semasa cuti semester mereka.
“Pada tahun 2024, seramai 1,727 pelajar telah mengambil bahagian dalam program ini,” katanya. – UTUSAN