Operasi padam kebakaran 130 hektar ladang kelapa Gebeng dijangka selesai minggu ini - Utusan Malaysia

Operasi padam kebakaran 130 hektar ladang kelapa Gebeng dijangka selesai minggu ini

JBPM menjangkakan kerja-kerja memadam kebakaran tanah gambut di ladang kelapa Kampung Bukit Palas, Gebeng di Kuantan, Pahang. dapat dikawal sepenuhnya minggu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kebakaran tanah gambut di ladang kelapa Kampung Bukit Palas, Gebeng di sini yang berlarutan sejak lebih seminggu lalu dijangka dapat dikawal sepenuhnya minggu ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang kini giat menjalankan operasi pemadaman di kawasan seluas 130 hektar yang terbakar memasuki hari ke-10 dengan baki 78.6 hektar masih dalam proses pemadaman.

Pengarah JBPM Pahang, Mohd. Razam Taja Rahim berkata, operasi melibatkan 70 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng serta 10 balai lain di Zon 1.

“Operasi turut disokong oleh sebuah helikopter untuk melaksanakan water bombing, selain penggunaan tiga jentera JCB dan dua ekskavator bagi membina sekatan menghalang api daripada terus merebak.

“Dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah Kuantan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), kami yakin kebakaran ini dapat dikawal sepenuhnya dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Mohd. Razam, cuaca panas dan angin kencang sejak beberapa hari lalu menjadi cabaran utama dalam operasi pemadaman.

“Pada Jumaat lalu, keadaan hampir terkawal, tetapi pada Sabtu dan Ahad, angin kuat serta ketiadaan hujan menyebabkan api kembali marak. Bagaimanapun, kami sedang mengambil langkah agresif untuk memastikan kebakaran ini dapat dipadam dalam minggu ini,” jelasnya.

Menurutnya, selain cuaca, faktor akses ke lokasi kebakaran juga menyukarkan operasi pada peringkat awal, namun dengan bantuan jentera berat, pasukan bomba kini dapat memasuki kawasan terbakar dengan lebih mudah.

Beliau juga mengesahkan setakat ini tiada anggota bomba mengalami kecederaan dalam operasi pemadaman tersebut.

Mengulas keperluan air dalam operasi pemadaman, Mohd. Razam berkata, pihaknya menggunakan kaedah total flooding, iaitu membanjiri kawasan terbakar menggunakan sumber air dari parit berhampiran.

“Kami menggunakan pam berkapasiti tinggi untuk menyalurkan air ke kawasan terlibat, selain mendapatkan bantuan daripada JPS yang membekalkan sumber air tambahan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN