Negeri Sembilan kehilangan ulama disegani - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan kehilangan ulama disegani

ALLAHYARHAM Abdul Rahman Sulaiman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bidang keilmuan Islam di Negeri Sembilan kehilangan ulama disegani iaitu Abdul Rahman Sulaiman  yang meninggal dunia di rumahnya di Lenggeng, di sini, kira-kira pukul 6.05 pagi tadi.

Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 90 tahun.

“Semasa hidupnya walau sudah berusia, Allahyarham tetap aktif menyampaikan ilmu dengan mengajar kitab-kitab turath serta memimpin majlis zikir di surau bersebelahan rumahnya. 

“Keperibadian beliau yang tawaduk, suara yang lembut, serta kata-katanya yang penuh hikmah menjadikan beliau dihormati dan disayangi oleh murid-murid serta masyarakat setempat.

“Pemergian beliau merupakan kehilangan besar bagi dunia keilmuan Islam di Negeri Sembilan,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Ujar Faudzinaim lagi, jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran kediamannya petang tadi.

Berkongsi lanjut, Faudzinaim memberitahu, Allahyarham pada usia muda telah menuntut ilmu di beberapa pusat pengajian agama terkenal.

“Selepas menamatkan pengajiannya, Allahyarham mengabdikan diri dalam bidang pendidikan dan berkhidmat sebagai guru di beberapa sekolah agama di Negeri Sembilan, termasuk di Telok Kemang, Chuah, Lenggeng, dan Jelebu. 

Menurutnya, meskipun pernah ditawarkan jawatan sebagai kadi, Allahyarham memilih untuk terus berbakti sebagai pendidik dan membimbing masyarakat.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya