HULU TERENGGANU: Bagai jatuh ditimpa tangga. Begitu nasib seorang ibu tunggal bersama empat anaknya dari Kampung Lubuk Batu, di sini yang bukan sahaja tinggal sehelai sepinggang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri, malah lebih 50 pasang baju raya ditempah pelanggan hangus dijilat api dalam kebakaran, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu mengakibatkan rumah sewa diduduki lima beranak tersebut musnah.
Zuraidah Muhammed, 40, berkata, kejadian berlaku sekelip mata dan dia hanya sempat masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan empat anaknya yang berusia antara lima tahun hingga 15 tahun.
“Selepas berbuka puasa, saya keluar ke rumah kawan dan apabila pulang sampai sahaja di rumah, saya mendengar anak sulung, Muhammad Mukhriz Mohd. Rahim, 15, menjerit ‘api’ beberapa kali.
“Saya meluru masuk dalam rumah dan terkejut melihat api semakin marak. Dalam keadaan cemas, saya tutup suis utama elektrik dan mengambil anak berumur tiga anak masing-masing berusia lima, sembilan dan 12 tahun keluar rumah.
“Api marak dengan cepat, saya hanya mampu melihat rumah disewa sejak tiga tahun lalu musnah. Fikiran ketika itu hanya memikirkan tentang baju raya pelanggan kerana ia amanah serta kepercayaan mereka,” katanya ketika ditemui.
Menurut Zuraidah, mujur pelanggannya memahami keadaannya itu dan ‘menghalalkan’ baju raya mereka yang hangus tanpa meminta ganti rugi.
“Sebahagian besar baju raya pelanggan telah siap dijahit, saya rancang Jumaat ini untuk hantar kepada mereka selain ramai yang ingin datang sendiri ambil di rumah.
“Persiapan menyambut hari raya sudah dilakukan sejak dua minggu puasa. Baju raya anak-anak pun semua telah dibeli hasil menjahit serta sumbangan daripada pelbagai pihak.
“Walaupun sedih dengan segala yang berlaku apatah lagi mesin menjahit menjadi punca mata pencarian musnah, saya reda serta syukur kerana semua anak-anak selamat,” katanya.
Katanya, buat sementara waktu dia tinggal di rumah ibunya di Manir, dekat sini dan berhasrat k mencari rumah sewa lain di Kampung Lubuk Batu bagi memudahkan persekolahan anak-anaknya.-UTUSAN.