TELUK INTAN: Penduduk meminta pihak bertanggungjawab membaiki satu laluan dikenali sebagai ‘jalan belakang’ Kampung Bahagia di sini yang rosak dan berlubang sehingga menyebabkan kerap berlaku kemalangan.
Kejadian terbaru melibatkan seorang remaja perempuan yang terjatuh dari motosikalnya yang melanggar lubang sehingga menyebabkan mangsa tercedera.
Remaja itu terjatuh dari motosikalnya yang terlanggar lubang selepas cuba mengelak lubang lain, menyebabkan dia cedera pada mulut, tangan dan paha.
Mangsa yang hanya mahu dikenali Ikmar itu berkata, kejadian berlaku ketika dia dalam perjalanan untuk ke tempat kerja dan menggunakan laluan belakang dari Sungai Kerawai.
Katanya, dia terjatuh selepas motosikalnya melanggar lubang di laluan tersebut.
“Saya bernasib baik kerana motosikal saya tidak terbabas ke dalam parit berdekatan. Sebelum ini memang saya hampir terlanggar lubang di laluan ini namun saya berjaya mengelak, namun kali tak sempat hendak elak menyebabkan saya terjatuh.
“Saya bersyukur ada penduduk yang datang membantu. Saya harap jalan yang rosak ini diperbaiki untuk kemudahan dan keselamatan pengguna,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Bahagia, Tajul Asnan Rasid berkata, keadaan yang rosak itu sering digunakan penduduk dari Langkap dan Sungai Kerawai menghala ke bandar Teluk Intan.
“Saya kerap melalui jalan terini dan mendapati sebahagian jalan tersebut rosak dan banyak bahagian jalan yang berlubang. Sudah kerap kali berlaku penunggang motosikal terjatuh akibat terlanggar atau mengelak lubang di jalan ini,” katanya.-UTUSAN.