PETALING JAYA: Bulan Ramadan sepatutnya menjadi masa untuk umat Islam menggandakan ibadah, namun bagi segelintir golongan ‘mat rempit’, ia bukan halangan untuk mereka terus berlumba haram hingga ke waktu sahur.
Menerusi tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, mendapati ratusan anak muda melakukan aksi bersaing sesama sendiri, dengan lagak bahaya turut melanggar lampu isyarat.
‘Mat rempit’ itu menjadikan Kuala Lumpur sebagai trek perlumbaan mereka yang disaksikan oleh puluhan orang ramai yang berkumpul di sekitar jalan berkenaan.
Kehadiran orang ramai seakan-akan menerima kegiatan tidak sihat itu apabila mereka berkumpul dan bersorak menyaksikan perlumbaan tersebut.
Ada juga yang berpendapat, ia sebahagian daripada hiburan hujung minggu mereka kerana ghairah melihat aksi sedemikian.
Manakala peniaga kaki lima pula mengambil kesempatan dengan menjual minuman di tapak permulaan perlumbaan.
Bukan itu sahaja, terdapat ‘longkai’ atau penarik kereta yang bersiap sedia di kawasan tersebut menanti sekiranya berlaku sebarang kemalangan akibat lumba haram itu.
Mereka memulakan aksi perlumbaan itu pada pukul 3 sehingga 6 pagi walaupun ketika ini sedang menyambut bulan Ramadan.
Perkara ini dibuktikan melalui pendedahan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur bahawa kumpulan penunggang itu akan menunggang di sekitar pusat bandar sambil menunggu untuk bersahur di kedai-kedai berdekatan.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, sementara menunggu untuk bersahur, mereka sering berlagak dengan menunggang motosikal secara berbahaya termasuk membunyikan ekzos motosikal dengan kuat serta melakukan aksi berisiko seperti ‘superman’ dan zig-zag di jalan raya.
“Kami menerima banyak aduan daripada orang ramai yang terganggu dengan bunyi bising ekzos motosikal yang diubah suai dan aksi berbahaya mereka. Ini menunjukkan bahawa kumpulan ini langsung tidak menghormati bulan Ramadan dan keselamatan awam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, antara kawasan panas yang sering menjadi tumpuan kumpulan berkenaan ialah Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Jalan Ampang dan Jalan Tun Razak.
“Manakala aksi menduga kelajuan motosikal atau lumba ‘drag’, mereka lakukan di lebuh raya di dalam bandar seperti Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE),” katanya.
Menurut beliau, sejak awal Ramadan, pihaknya telah menahan 26 penunggang yang menunggang secara berbahaya dan laju, selain menyita 22 motosikal kerana ekzos bising.
“Operasi khas motosikal turut dijalankan dengan sekatan jalan raya setiap malam Sabtu dan Ahad dari pukul 10 malam hingga 2 pagi di lokasi tumpuan,” jelasnya.-UTUSAN.